MALAM BERSAMA MPP SEMPENA ‘JIWA 12’

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej 12 atas jemputan dalam menjayakan slot ‘Malam Bersama MPP’ sempena program ‘Julang Ilmu Wajah Apresiasi 12 (JIWA 12) Kolej Dua Belas Sesi 2011/2012’. Program ini berlangsung pada 25 November 2011 (Jumaat) di Dewan Putra 2, Kolej Serumpun dan dihadiri oleh Iqbal Ismat bin Nordin (Yang Dipertua MPP), Fakhrurrazi Ashari (Presiden MTM Kolej 12), Muhammad Arif bin Baba (Naib yang Dipertua MPP), Roslina binti Japar (Setiausaha MPP), Exco-exco MPP, Majlis Tertinggi Mahasiwa Kolej 12, dan warga Kolej Dua belas.

Pelbagai isu kebajikan yang diutarakan oleh pelajar seperti isu pengagihan baucer buku, bas, kafeteria, sistem merit, kemudahan jalan raya, dan bookplan. Semoga segala jawapan yang diberikan pada malam tersebut menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh pelajar. Pihak MPPUPM akan membawa cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada pihak yang berkenaan. Semoga ukhuwah sesama pelajar akan terjalin lebih erat lagi.

MAKLUMAN : BAUCER BUKU BERNILAI RM200 OLEH PIHAK KPT

Pemberian baucer buku bernilai RM 200 : Pembahagian baucer ke setiap IPT akan dimulakan pada bulan Januari 2012 sebaik sahaja bajet diluluskan. Nilai ini adalah dalam bentuk baucer dan tidak akan ditukarkan kepada tunai. Baucer buku akan diberikan kepada pelajar yang masih belajar dalam tempoh bulan Januari 2012 – Mac 2012 berdasarkan senarai nama pelajar yang akan dihantar oleh pihak universiti. Tempoh sah laku baucer ini adalah selama 3 bulan sahaja (Jan-Mac 2012) dan hanya boleh dibeli di kedai buku yang telah dicadangkan atau ditetapkan oleh pihak universiti masing-masing. (Maklum balas daripada pihak KPT- 20 Nov 2012)

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR 2011

MAKLUMAN : Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Terbuka UPM

Pada 19 dan 20 November iaitu Sabtu dan Ahad yang lalu, UPM telah menganjurkan Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Terbuka UPM. Ia di adakan di padang A berhampiran dengan Kolej Kedua.  Kejohanan ini melibatkan penyertaan sehingga 44 buah pasukan dari seluruh negara dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kelab dan Bawah 21 Tahun. UPM telah menghantar sebanyak 6 buah pasukan iaitu Angels, Angels-SSTMI, Ex-Angels dan Kolej 13 untuk kategori Kelab dan pasukan Angels Jr dan Angels SSTMI Jr bagi kategori Bawah 21 Tahun.

Seperti dijangka, pasukan dari UPM telah memenangi kedua-dua kategori ini di mana Kejuaraan Kategori Bawah 21 Tahun telah dimenangi oleh Pasukan UPM Angels Jr apabila mengatasi satu lagi pasukan daripada UPM iaitu Angels-SSTMI Jr dengan keputusan 21-0. Kategori Kelab yang menjadi tumpuan dari awal mempertemukan pasukan UPM Angels dengan pasukan Bandaraya Dragons yang terkenal dengan larian dan kemahiran menghantar bola yang digeruni, selain mempunyai ahli pasukan yang dianggap ‘gergasi’ yang digelar dugro oleh pemain mereka sendiri. Perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri dan UPM Angels menang menerusi ‘drop kick’.

Menurut salah seorang pemain daripada UPM yang mewakili pasukan UPM Angels Jr untuk posisi Scrum-half, Abdul Mu’iz Hassan Basri,  “Kejohanan kali ini melihatkan penambahan kemasukan pasukan yang lebih banyak berbanding edisi yang lepas, dan ia menjadikan kejohanan pada kali ini lebih menarik. Pasukan-pasukan daripada UPM yang dibarisi daripada campuran pemain baru dan pemain lama menjadikan setiap pasukan kami lebih berkualiti dengan adanya perkongsian pengalaman dan perancangan daripada setiap pemain yang berbeza bakat dan kemahiran yang tersendiri”.

This slideshow requires JavaScript.

 

Exco Pembangunan Insaniah dan Aktiviti Pelajar

MPP UPM 2011

PERJUMPAAN KHAS BERSAMA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 30 hb September 2011. Lawatan kerja ini adalah lanjutan daripada usaha para pemimpin mahasiswa yang mengharapkan pemimpin-pemimpin negara dapat meluangkan masa bersama mahasiswa semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada bulan Jun yang lalu. Beliau turut diiringi oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perjumpaan khas ini diadakan di Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan dihadiri oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPM, para pemimpin mahasiswa, pensyarah dan juga staf-staf di UPM.

Antara perkara-perkara yang dibangkitkan semasa perjumpaan ini ialah pihak UPM telah menyatakan hasrat universiti untuk menjadikan Hospital Universiti Serdang sebagai hospital milik penuh universiti. Hal ini kerana, UPM adalah satu-satunya universiti penyelidikan yang mempunyai fakulti perubatan yang masih tidak lagi memiliki hospital sendiri untuk kegunaan para pelajar. Memiliki hospital sendiri adalah penting untuk para pelajar perubatan dan pensyarah-pensyarah dalam menjalankan kajian dan mempraktikkan segala ilmu pembelajaran. Selain itu, adalah menjadi kelebihan kepada tenaga pakar-pakar perubatan dari universiti supaya tenaga mereka tidak dibazirkan begitu sahaja sekiranya memiliki hospital sendiri.

Memberikan respon terhadap perkara tersebut, YAB Tan Sri Muhyiddin telah diberitahu oleh Datuk Seri Khaled Nordin bahawa memorandum mengenai perkara tersebut telah disediakan dan akan dibawa untuk perhatian ahli kabinet. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi turut memberi perhatian yang lebih kepada Fakulti Perubatan Veterinar UPM kerana UPM merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai fakulti yang dikhaskan kepada program veterinar. Peruntukan sebanyak RM 5 juta turut akan diberikan kepada Hospital Veterinar UPM untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan.

Selain itu, UPM turut akan diberikan dana untuk meningkatkan kajian dalam bidang keselamatan dan kecukupan makanan yang turut memfokuskan bekalan makanan dalam negara. Kertas kerja berkaitan perkara ini telah dibentangkan oleh Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Saudara Iqbal Ismat bin Nordin semasa MPPK yang lepas.

ISU : Komplek Mahasiswa (Update)

Merujuk kepada perbincangan antara Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2011 dengan Y.Bhg Dato’ Naib Canselor pada 28 September 2011 jam 8.05 pagi di pejabat Naib Canselor,berikut merupakan antara butiran perbincangan dan persetujuan MPPUPM 2011 dengan Y.Bhg Dato berkaitan Kompleks Mahasiswa :

1) Bahagian bawah Kompleks Akademik A ( bilik 1-8 ) boleh digunakan oleh pelajar untuk tujuan aktiviti pelajar sama ada melibatkan Persatuan atau Kelab berdasarkan kepada kekosongan bilik.

2) Status pengambilalihan Bilik Mesyuarat 1 Kompleks Mahasiswa oleh UPM Holding akan di putuskan selepas mesyuarat pengurusan universiti.

3) Menara jam UPM bakal dibina di hadapan Kompleks Mahasiswa.

4) Kaunter perkhidmatan pelajar antarabangsa akan diwujudkan di ruang tengah bawah Kompleks Mahasiswa.

Mohon rakan-rakan UPM sama-sama menyokong dan memperjuangkan hak pelajar.

” SATU PERJUANGAN, SATU HARAPAN”
MPP UPM