KEMBALIKAN HAK MAHASISWA…

SERDANG, 23 Disember : Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa Pemimpin Mahasiswa lain telah mengadakan perhimpunan aman bertempat di hadapan Bangunan Pentadbiran Universiti Putra Malaysia bagi menghantar memorandum kepada YBhg Dato’ Naib Canselor untuk menuntut kembali Kompleks Mahasiswa.

Perhimpunan aman ini bermula pada pukul 3.00 petang dan disertai oleh hampir 40 orang mahasiswa yang terdiri daripada para pemimpin mahasiswa UPM.

Pihak keselamatan UPM bertindak mengawal di sekitar bangunan Pentadbiran bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, dan hanya beberapa wakil sahaja yang dibenarkan untuk berjumpa dengan wakil Dato’ Naib Canselor

Memorandom tersebut diserahkan kepada setiausaha YBhg Naib Canselor, Puan Norizawati Ahmad Jalal pada pukul 4.00 petang di pejabat beliau.

Mereka menuntut untuk mendapatkan kembali Kompleks Mahasiswa sepenuhnya bagi kemudahan Mahasiswa.

Menurut Iqbal Ismat Nordin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM “Pemimpin-pemimpin mahasiswa pada hari ini bukannya berhimpun untuk berdemonstrasi, sebaliknya ingin menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh MPP bagi menuntut kembali hak pelajar”.

Tambah beliau lagi, “Sebelum ini beberapa siri rundingan dengan Dato’ Naib Canselor telah dilakukan, namun respon yang diterima amat mendukacitakan”.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2008 kompleks mahasiswa tidak pernah diserahkan secara rasmi kepada mahasiswa UPM, sebaliknya pihak-pihak lain yang diberi keistimewaan untuk menghuni Kompleks Mahasiswa, perkara ini menunjukkan betapa hak mahasiswa dicabuli”, ujar beliau lagi.

MPP UPM meminta pihak wakil Naib Canselor memberi respon terhadap perkara ini dalam tempoh seminggu.

 

MAKLUMAN : MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) BIL. 2/2011

Seramai empat ahli MPPUPM iaitu Iqbal Ismat bin Nordin (Yang Dipertua), Muhammad Arif bin Baba (Naib Yang Dipertua), Roslina binti Japar (Setiausaha), dan Ling Li Keat (Bendahari) menghadiri Pra Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil. 2/2011 yang berlangsung pada 19 November sehingga 20 November 2011 di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan. Pra-MPPK ini disertai lebih 30 IPT yang menghimpunkan Majlis Perwakilan Pelajar daripada IPT seluruh Malaysia dan ia bertujuan sebagai persediaan untuk mesyuarat MPPK Bil. 2/2011.

Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil. 2/2011 yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin telah berlangsung pada 21 November 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat ini dihadiri oleh YDP, Setiausaha, dan Bendahari MPP UPM. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, YB Datuk Seri Mohd. Shafie bin Haji Apdal, Timbalan Ketua Polis Negara, dan wakil-wakil kementerian.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh MPP semasa mesyuarat berkenaan seperti :
1. Rasionalisasi Subsidi: Keberkesanan dan Kebergantungan Rakyat (UTM);
2. Goods Service Tax (GST): Antara Kehendak Rakyat dan Keperluan Kerajaan (UIAM);
3. Mencapai Status Negara Maju Tanpa Menjejaskan Jati Diri Bangsa (UiTM); dan
4. Bersediakah Negara Mengamalkan Meritokrasi Mutlak (UniSZA).

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang diusulkan dalam mesyuarat ini seperti memohon perhatian pihak kerajaan mengenai pemilikan Hospital Serdang, mewujudkan semula rancangan ‘Suara Siswa’, mewujudkan kad pelajar yang membolehkan pelajar membeli barangan dengan harga pelajar/diskaun, dan AUKU (Seksyen 15) perlu dipertahankan.

       

BERITA : MPP UPM DIBERI KEPERCAYAAN KENDALI PESTA KONVO

Cabaran Teh Tarik

Cabaran Teh Tarik

Persediaan untuk PESKO

Persediaan untuk PESKO



SERDANG, 17 OKTOBER – Buat pertama kalinya, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi kepercayaan untuk menganjurkan Pesta Konvokesyen ke-35 bersama Kesatuan Kakitangan Am (KEPERTAMA)dilihat sebagai satu kejayaan terbesar kepada MPP UPM.

Sebelum ini, penganjuran pesta konvokesyen dilaksanakan sepenuhnya oleh badan-badan yang diberi kepercayaan oleh UPM seperti Taman Pertanian Universiti (TPU) dan penglibatan mahasiswa hanya sebagai sukarelawan.

Kepercayaan yang diberikan oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi kepada Mahasiswa untuk menjadi sebahagian daripada penganjur Pesta Konvokesyen tidak disia-siakan oleh pihak MPP.

Aktiviti yang dijalankan kali ini lebih menarik dan belum pernah dianjurkan lagi dalam pesta konvokesyen seperti pertandingan fotografi “I Love UPM”, pertandingan Teh Tarik dan anggun busana.

Selain itu, aktiviti seperti target shooting,flying fox, kayak dan paintball juga turut menarik minat pengunjung yang berkunjung ke bukit ekspo.

Menurut pengarah program, saudara Muhammad Arif bin Baba, “Pesta konvo kali ini menjadi platform pertama pihak MPP UPM dan persatuan-persatuan pelajar di UPM untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti pelajar.

Tambah Arif lagi, “Kami juga bergerak seiring dengan matlamat universiti di mana aktiviti-aktiviti yang kami lakukan menerapkan kemahiran-kemahiran insaniah yang telah menjadi salah satu keperluan dalam kehidupan mahasiswa”.

"Donate for Future"

"Donate for Future"

“Aktiviti-aktiviti pelajar juga tidak tertumpu kepada aktiviti fizikal sahaja di mana terdapat juga aktiviti yang fokus kepada kemahiran keusahawanan seperti gerai jualan, car wash dan sebagainya”.

“Saya juga melihat Pesta Konvokesyen pada kali ini lebih meriah berbanding dengan tahun lepas dengan adanya kerjasama di antara penganjur utama dengan pihak pelajar”. Ujar Arif lagi.

Penganjuran Pesta konvo pada kali ini mendapat pujian daripada saudari Nurhayati Muhamad Hussain pelajar bacelor komunikasi, yang melihat pesta konvo kali ini lebih ceria dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah dianjurka oleh pihak MPP yang belum pernah dianjurkan lagi dalam pesta konvo sebelum ini.

Menurut hayati lagi, “Saya berharap agar penganjuran pesta konvo akan diberikan sekali lagi kepada pihak MPP dan berharap pihak MPP dapat membuat anjakan pradigma yang lebih baik dan mempelbagaikan aktiviti dalam pesta konvo yang akan datang”.

“walaupun saya melihat ada beberapa kelemahan dalam penganjuran ini, tapi bagi saya ini merupakan proses pembelajaran kepada mereka kerana ini merupakan penganjuran mereka yang pertama, dan saya optimis mengatakan mereka akan dapat menganjurkan pesta konvo dengan jayanya pada masa akan datang seperti universiti-universiti lain yang diberikan 100 peratus hak penganjuran dalam pesta konvo”. Tambah Hayati lagi.

Dilapor oleh:
RAHMAWATI NURDIN (MPP UPM)

BERITA:BENGKEL PEMBENTUKAN DEWAN PERSIDANGAN MAHASISWA UPM

SERDANG, 1 September –  Seramai hampir 60 orang wakil pelajar terlibat dengan Bengkel Pembentukan Dewan Persidangan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tujuan bengkel ini dijalankan adalah untuk merangka Draf  Pembentukan Dewan Persidangan Mahasiswa untuk diusulkan kepada pihak Universiti sebelum pelaksanaan dewan persidangan tersebut.

Bengkel ini dimulakan dengan penerangan dan gambaran secara ringkas oleh Yang Dipertua Majlis Perrwakilan Pelajar sebelum perbincangan lanjut oleh semua wakil pelajar yang hadir keatas Draf peringkat awal yang disediakan berdasarkan struktur Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Perbincangan tersebut dijalankan adalah untuk membentuk sebuah draf yang lebih praktikal diaplikasikan di UPM.

Menurut saudara Muhammad Arif b Baba, Naib Yang DiPertua MPP UPM, “ Penglibatan mahasiswa dalam pembentukan draf  Dewan Perundingan Mahasiswa di UPM amat menggalakkan dan menunjukkan bahawa mahasiswa-mahasiswa menyokong dan sangat mengalu-ngalukan Dewan Persidangan Mahasiswa di UPM.

Tambah Arif lagi,“Bengkel ini juga menjadi kayu pengukur serta langkah pertama yang diambil oleh pihak MPP UPM 2011 untuk menyediakan platform bagi mahasiswa UPM berdiskusi tentang hal-hal kebajikan mahasiswa dalam dan luar universiti.”

Norfarhana binti Abu Hasan, pelajar Fakulti Kejuruteraan berkata, “bagi saya bengkel yang dilaksanakan ini merupakan satu alternatif yang baik, namun kita perlu membuat pembaikan sedikit dengan menjadikan persidangan parlimen-parlimen lain sebagai contoh dalam merangka draf yang bakal kita bentuk”.

“intipati dan pengisian program perlu diperbaiki dan diperhalusi lagi agar UPM dapat membentuk sebuah parlimen mahasiswa yang sempurna dan praktikal dilaksanakan di universiti ini”.

Bagi memantapkan lagi pembentukan dewan perundingan mahasiswa UPM, bengkel yang seterusnya akan dilaksanakan dalam waktu yang terdekat.

    

 Dilaporkan oleh:
Rahmawadi Nurdin

BERITA : TINDAKAN PANTAS SELESAIKAN MASALAH AIR DI UPM

SERDANG, 18 OGOS – Tindakan pantas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jemaah Pengetua Kolej kediaman dan pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset Universiti Putra Malaysia (UPM) dapat menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air yang dijangka berlaku selama dua hari.

Menurut En.Muhammad Syaharil, Jurutera Awam di pejabat Pembangunan UPM, “Masalah yang berlaku  ini berpunca daripada kecurian kabel penyambung di rumah pam UPM semalam”.

“Pasukan pembaik pulih telah berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dan bekalan air pulih selepas jam 12 tengah malam dan boleh digunakan sepenuhnya pada awal pagi itu”.

Bagi meringankan beban pelajar, jabatan pembangunan telah menghubungi SYABAS untuk menghantar bekalan air bantuan ke UPM.

Kawasan yang paling terjejas dengan masalah ini adalah Kolej Serumpun yang terdiri daripada lima  buah kolej iaitu kolej 12, kolej 14, kolej 15, kolej 16 dan kolej Muhamad Rashid yang dihuni lebih daripada 3000 orang pelajar.

Saudari Siti Aisyah binti Abdul Razak, pelajar fakulti Pertanian berpendapat, “ tindakan pantas yang diambil ini dapat memudahkan para pelajar di setiap kolej kediaman”.

Tambah beliau lagi, “ saya sebenarnya tidak menyangka yang akan berlaku masalah ketiadaan air seperti ini kerana sebelum ini jika berlaku apa-apa perkara seperti ini pihak kolej akan menampal notis terlebih dahulu untuk memaklumkan kepada semua pelajar dan akan memberi peluang kepada pelajar untuk bersedia terlebih dahulu”.

Bagi saudari Nornadia Farina binti Ahmad Fuad pula, “ peristiwa ini satu pengalaman yang menarik dan memberi pengajaran kepada saya sebagai pelajar baharu di kolej ini”.

“ saya juga merasakan tindakan pantas yang diambil oleh pihak UPM patut di puji kerana dapat mengurangkan beban pelajar”.

Pejabat pembangunan dan pengurusan Aset UPM telah bersungguh-sungguh melakukan Kerja-kerja pembaikan bagi memberi kesenangan dan keselesaan kepada semua pelajar di UPM dan pembaik pulihan telah siap sepenuhnya tepat 12.00 tengah malam.

Dilaporkan oleh:
RAHMAWATI NURDIN (MPP UPM)