BERITA : KEMBARA BAKTI JELAJAH IPTA MPP UPM

SERDANG : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPP UPM) telah menganjurkan Program Kembara Bakti Jelajah IPTA (fasa 1) pada 24 Julai sehingga 30 Julai.

Kembara Bakti ini yang melibatkan lima (5) buah universiti dari Pantai Timur dan Utara tanah air iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bertujuan untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam pelbagai aspek, khasnya dari aspek kebajikan pelajar.

Selain itu, MPP UPM turut sama menabur bakti melalui aktiviti bergotong-royong di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Terengganu dan juga program motivasi bersama pelajar-pelajar dari Tingkatan 3 dan 5 di SMK Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.

Menurut pengarah program, saudari Rahmawati  binti Nurdin, “Kembara ini merupakan satu platform kepada MPP UPM dan rakan MPP dari universiti lain untuk saling bertukar-tukar pendapat dan idea yang bermanfaat untuk diaplikasikan di universiti masing-masing”.

Tambah beliau lagi, “Mendekatkan diri kepada masyarakat juga menjadi salah satu intipati dalam kembara ini”.

Saudara Muhammad Arif bin Baba, Naib Yang DiPertua MPP UPM berpendapat, “Kembara ini dapat meningkatkan tahap mentaliti dan kredibiliti MPP UPM di mana kami berpeluang untuk berdiskusi bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa universiti lain dalam membincangkan beberapa isu pada peringkat kampus dan global. Di samping itu, kami juga menyumbangkan bakti dalam membantu masyarakat luar khususnya anak-anak yatim dengan melakukan aktiviti-aktiviti  yang bermanfaat seperti gotong-royong dan motivasi kepada pelajar sekolah.”

Program kembara ini yang telah berlangsung selama enam (6) hari sedikit sebanyak dapat meningkatkan ilmu pengetahuan kepada semua MPP yang terlibat.

Dilaporkan oleh:
Rahmawati Nurdin (MPPUPM)

Lawatan MPP UMS ke UPM

Seramai 28 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam sebahagian rangka kerja mereka mengadakan lawatan ke universiti di Malaysia, baru-baru ini.

UPM diwakili MPPnya menerima kunjungan tersebut dengan tangan terbuka sambil menyifatkannya sebagai langkah meluaskan lagi jaringan antara kedua pihak.

Yang di Pertua MPP UPM, Syed Muhammad Adam Syd Abdul Rahman, berkata dia berharap agar lawatan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara UMS dan UPM.

“Kami berbesar hati di atas kunjungan UMS ke sini, saya selaku wakil dari UPM ingin mengucapkan terima kasih kepada UMS.

“Banyak perkongsian idea dapat dibuat dalam pertemuan ini dan saya yakin ia mampu memastikan lagi perlaksanaan program yang lebih tinggi impaknya terhadap universiti masing-masing,” katanya.

Lawatan berkenaan diadakan di Kompleks Mahasiswa, UPM dan turut dihadiri oleh 25 MPP UPM.

UPM Terima Kunjungan Pelajar SMK Tenggaroh

Oleh Nadia Rahimi

Serdang, 2 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan 35 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Tenggaroh A, Mersing, Johor sempena Program Eksplorasi Menara Gading.

Pelajar SMK Tenggaroh bergambar kenangan bersama MPP UPM

Kehadiran pelajar tersebut disambut baik oleh Majlis Perwakilan Pelajar UPM yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan di universiti dengan lebih mendalam selain berkongsi pengalaman tentang cara pembelajaran di universiti.

Noraini Mohd Noh

Guru sekolah tersebut, Noraini Mohd Noh berkata beliau berharap agar pelajar dapat mengambil pengalaman daripada program ini dengan mengetahui situasi sebenar kehidupan di kampus memandangkan mereka hanya setapak lagi ke dunia tersebut.

“Pelajar telah mendapatkan nasihat daripada kaunselor sekolah sejak tahun lepas tentang bidang pengajian yang ditawarkan di universiti. Maka, dengan mengikuti program ini diharapkan agar pelajar dapat merancang hala tuju mereka dengan baik selepas ini.

“Saya memilih UPM sebagai destinasi pilihan kerana tahu di sini menyediakan pelbagai bidang pengajian yang mampu menarik minat pelajar untuk menjadikan UPM sebagai universiti pilihan,” katanya yang juga merupakan bekas pelajar UPM.

Fadilah Hashim

Pelajar sekolah tersebut, Fadilah bt Hashim, 19, berkata beliau begitu teruja apabila menjejakkan kaki buat pertama kali ke UPM kerana selama ini hanya mendengarnya melalui rakan-rakan dan keluarga.

“Setelah mendengar taklimat tentang UPM, semangat saya berkobar-kobar untuk terus belajar supaya dapat menyambung pengajian di universiti seterusnya berpeluang berkongsi ilmu dengan anak bangsa bagi memajukan anak bangsa sendiri.

“Saya harap agar rakan-rakan dapat terus belajar dengan bersungguh untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan STPM nanti,” katanya yang merupakan Yang Di-Pertua Majis Perwakilan Pelajar Sekolah Menengah Tenggaruh A .

Mohd Khairul Anwar

Mohd Khairul Anwar b Mohd Salleh, 19 berkata banyak yang beliau perolehi dalam program itu terutamanya ketika sesi bersama pemimpin pelajar UPM yang banyak berkongsi pengalaman mereka di situ.

“Saya harap akan dapat belajar di UPM nanti kerana sudah jatuh cinta dengan suasana di sini. Pelajar-pelajar di sini juga peramah selain tahu UPM adalah antara universiti terbaik di Malaysia,” katanya.