KEMBALIKAN HAK MAHASISWA…

SERDANG, 23 Disember : Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa Pemimpin Mahasiswa lain telah mengadakan perhimpunan aman bertempat di hadapan Bangunan Pentadbiran Universiti Putra Malaysia bagi menghantar memorandum kepada YBhg Dato’ Naib Canselor untuk menuntut kembali Kompleks Mahasiswa.

Perhimpunan aman ini bermula pada pukul 3.00 petang dan disertai oleh hampir 40 orang mahasiswa yang terdiri daripada para pemimpin mahasiswa UPM.

Pihak keselamatan UPM bertindak mengawal di sekitar bangunan Pentadbiran bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, dan hanya beberapa wakil sahaja yang dibenarkan untuk berjumpa dengan wakil Dato’ Naib Canselor

Memorandom tersebut diserahkan kepada setiausaha YBhg Naib Canselor, Puan Norizawati Ahmad Jalal pada pukul 4.00 petang di pejabat beliau.

Mereka menuntut untuk mendapatkan kembali Kompleks Mahasiswa sepenuhnya bagi kemudahan Mahasiswa.

Menurut Iqbal Ismat Nordin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM “Pemimpin-pemimpin mahasiswa pada hari ini bukannya berhimpun untuk berdemonstrasi, sebaliknya ingin menyatakan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh MPP bagi menuntut kembali hak pelajar”.

Tambah beliau lagi, “Sebelum ini beberapa siri rundingan dengan Dato’ Naib Canselor telah dilakukan, namun respon yang diterima amat mendukacitakan”.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2008 kompleks mahasiswa tidak pernah diserahkan secara rasmi kepada mahasiswa UPM, sebaliknya pihak-pihak lain yang diberi keistimewaan untuk menghuni Kompleks Mahasiswa, perkara ini menunjukkan betapa hak mahasiswa dicabuli”, ujar beliau lagi.

MPP UPM meminta pihak wakil Naib Canselor memberi respon terhadap perkara ini dalam tempoh seminggu.

 

Leave a comment