MALAM BERSAMA MPP SEMPENA ‘JIWA 12’

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej 12 atas jemputan dalam menjayakan slot ‘Malam Bersama MPP’ sempena program ‘Julang Ilmu Wajah Apresiasi 12 (JIWA 12) Kolej Dua Belas Sesi 2011/2012’. Program ini berlangsung pada 25 November 2011 (Jumaat) di Dewan Putra 2, Kolej Serumpun dan dihadiri oleh Iqbal Ismat bin Nordin (Yang Dipertua MPP), Fakhrurrazi Ashari (Presiden MTM Kolej 12), Muhammad Arif bin Baba (Naib yang Dipertua MPP), Roslina binti Japar (Setiausaha MPP), Exco-exco MPP, Majlis Tertinggi Mahasiwa Kolej 12, dan warga Kolej Dua belas.

Pelbagai isu kebajikan yang diutarakan oleh pelajar seperti isu pengagihan baucer buku, bas, kafeteria, sistem merit, kemudahan jalan raya, dan bookplan. Semoga segala jawapan yang diberikan pada malam tersebut menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh pelajar. Pihak MPPUPM akan membawa cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada pihak yang berkenaan. Semoga ukhuwah sesama pelajar akan terjalin lebih erat lagi.

MAKLUMAN : MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) BIL. 2/2011

Seramai empat ahli MPPUPM iaitu Iqbal Ismat bin Nordin (Yang Dipertua), Muhammad Arif bin Baba (Naib Yang Dipertua), Roslina binti Japar (Setiausaha), dan Ling Li Keat (Bendahari) menghadiri Pra Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil. 2/2011 yang berlangsung pada 19 November sehingga 20 November 2011 di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan. Pra-MPPK ini disertai lebih 30 IPT yang menghimpunkan Majlis Perwakilan Pelajar daripada IPT seluruh Malaysia dan ia bertujuan sebagai persediaan untuk mesyuarat MPPK Bil. 2/2011.

Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil. 2/2011 yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin telah berlangsung pada 21 November 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Mesyuarat ini dihadiri oleh YDP, Setiausaha, dan Bendahari MPP UPM. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, YB Datuk Seri Mohd. Shafie bin Haji Apdal, Timbalan Ketua Polis Negara, dan wakil-wakil kementerian.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh MPP semasa mesyuarat berkenaan seperti :
1. Rasionalisasi Subsidi: Keberkesanan dan Kebergantungan Rakyat (UTM);
2. Goods Service Tax (GST): Antara Kehendak Rakyat dan Keperluan Kerajaan (UIAM);
3. Mencapai Status Negara Maju Tanpa Menjejaskan Jati Diri Bangsa (UiTM); dan
4. Bersediakah Negara Mengamalkan Meritokrasi Mutlak (UniSZA).

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang diusulkan dalam mesyuarat ini seperti memohon perhatian pihak kerajaan mengenai pemilikan Hospital Serdang, mewujudkan semula rancangan ‘Suara Siswa’, mewujudkan kad pelajar yang membolehkan pelajar membeli barangan dengan harga pelajar/diskaun, dan AUKU (Seksyen 15) perlu dipertahankan.

       

MAKLUMAN : BAUCER BUKU BERNILAI RM200 OLEH PIHAK KPT

Pemberian baucer buku bernilai RM 200 : Pembahagian baucer ke setiap IPT akan dimulakan pada bulan Januari 2012 sebaik sahaja bajet diluluskan. Nilai ini adalah dalam bentuk baucer dan tidak akan ditukarkan kepada tunai. Baucer buku akan diberikan kepada pelajar yang masih belajar dalam tempoh bulan Januari 2012 – Mac 2012 berdasarkan senarai nama pelajar yang akan dihantar oleh pihak universiti. Tempoh sah laku baucer ini adalah selama 3 bulan sahaja (Jan-Mac 2012) dan hanya boleh dibeli di kedai buku yang telah dicadangkan atau ditetapkan oleh pihak universiti masing-masing. (Maklum balas daripada pihak KPT- 20 Nov 2012)

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR 2011

MAKLUMAN : Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Terbuka UPM

Pada 19 dan 20 November iaitu Sabtu dan Ahad yang lalu, UPM telah menganjurkan Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Terbuka UPM. Ia di adakan di padang A berhampiran dengan Kolej Kedua.  Kejohanan ini melibatkan penyertaan sehingga 44 buah pasukan dari seluruh negara dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kelab dan Bawah 21 Tahun. UPM telah menghantar sebanyak 6 buah pasukan iaitu Angels, Angels-SSTMI, Ex-Angels dan Kolej 13 untuk kategori Kelab dan pasukan Angels Jr dan Angels SSTMI Jr bagi kategori Bawah 21 Tahun.

Seperti dijangka, pasukan dari UPM telah memenangi kedua-dua kategori ini di mana Kejuaraan Kategori Bawah 21 Tahun telah dimenangi oleh Pasukan UPM Angels Jr apabila mengatasi satu lagi pasukan daripada UPM iaitu Angels-SSTMI Jr dengan keputusan 21-0. Kategori Kelab yang menjadi tumpuan dari awal mempertemukan pasukan UPM Angels dengan pasukan Bandaraya Dragons yang terkenal dengan larian dan kemahiran menghantar bola yang digeruni, selain mempunyai ahli pasukan yang dianggap ‘gergasi’ yang digelar dugro oleh pemain mereka sendiri. Perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri dan UPM Angels menang menerusi ‘drop kick’.

Menurut salah seorang pemain daripada UPM yang mewakili pasukan UPM Angels Jr untuk posisi Scrum-half, Abdul Mu’iz Hassan Basri,  “Kejohanan kali ini melihatkan penambahan kemasukan pasukan yang lebih banyak berbanding edisi yang lepas, dan ia menjadikan kejohanan pada kali ini lebih menarik. Pasukan-pasukan daripada UPM yang dibarisi daripada campuran pemain baru dan pemain lama menjadikan setiap pasukan kami lebih berkualiti dengan adanya perkongsian pengalaman dan perancangan daripada setiap pemain yang berbeza bakat dan kemahiran yang tersendiri”.

This slideshow requires JavaScript.

 

Exco Pembangunan Insaniah dan Aktiviti Pelajar

MPP UPM 2011

MAKLUMAN : ISU KETIADAAN LAMPU DI PARKIR PELAJAR KTP

MPP UPM telah membuat aduan mengenai masalah ketiadaan lampu di parkir pelajar KTP pada minggu lepas.Pada hari ini, MPP UPM telah membuat susulan di PPPA pada pukul 3 petang (21 Nov 2011) dan telah mendapati aduan tersebut telah difail dalam sistem dan diberitahu tindakan seterusnya akan diambil.
Harap maklum.

“SATU PERJUANGAN, SATU HARAPAN”
MPP UPM 2011

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.